Tuesday, November 24, 2009

SOAL dan JAWAB

Assalamualaikum...

Soalan:

Apakah hukum menggunakan bekas samada yang diperbuat daripada emas dan perak yang digunakan untuk makan dan minum. Apa pula hukumnya orang lelaki menggunakan sutera, samada untuk dijadikan pakaian, tempat duduk atau bersandar, juga untuk dijadikan tabir.

Jawapan:

Imam Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali berpendapat bahawa menggunakan bekas samada yang diperbuat daripada emas dan perak adalah HARAM.

Junjungan kita Rasullullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud: "Jangan sesekali kamu memakai sutera tulin dan sutera campuran dan jangan minum menggunakan bekas yang diperbuat daripada emas dan perak, juga jangan kamu memakan dalam pinggan-pinggannya kerana ianya adalah untuk mereka (orang-orang kafir di dunia)."

Sebuah hadis lain daripada Ummu Salamah berkata: "Telah bersabda Rasulullah S.A.W: Barangsiapa minum dengan menggunakan bekas daripada emas dan perak, sesungguhnya dia mencampakkan dalam perutnya api Neraka Jahannam."

Mengenai sutera pula, para ulama telah bersependapat mangatakan bahawa HARAM bagi kaum lelaki memakai pakaian yang diperbuat dari sutera. Walaupun demikian, para ulama berselisih pendapat mengenai kain sutera yang digunakan untuk tujuan alas duduk, alas tempat bersandar dan seumpamanya.

Imam Syafie berpendapat bahawa orang lelaki juga HARAM menggunakan kain sutera untuk alas bersandar, sama seperti memakainya. Tegahan menggunakan sutera bagi kaum lelaki seperti yang tersebut jelas dalam hadis di atas, bukan setakat pada memakainya, tetapi termasuk dalam semua penggunaan seperti untuk alas tempat duduk, alas bersandar, cadar tempat tidur dan sebagainya.

Walaupun demikian, Imam Syafie berpendapat adalah HARUS bagi kaum lelaki memakai pakaian sutera ketika berperang. Begitu juga pendapat Imam Maliki, Abu Yusuf dan Muhammad bin al-Hassan.

(Tanya Jawab Agama oleh Dr. Amran Kasimin-UKM).
.

Saturday, November 21, 2009

SEKADAR RENUNGAN (10)

Assalamualaikum....

UMUR LALAT:

Anas bin Malik r.a berkata, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda:

"Umur lalat adalah 40 malam, dan semua bangsa lalat adalah di dalam neraka, kecuali lebah/tawon."

(Riwayat Haisami).

--------------------------------------------------------------------------------------------------

KEMATIAN DISEMBELIH:

Abdullah bin Umar r.a berkata, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda:

"Apabila ahli syurga telah berada di dalam syurga, dan ahli neraka telah tinggal di dalam neraka, maka didatangkan kematian serta diletakkan antara syurga dan neraka, lalu disembelihnya, kemudian malaikat menyeru keras:

Wahai ahli syurga! Tiada kematian lagi bagimu! Wahai ahli neraka! Tiada kematian lagi bagimu! Maka betapa gembira ahli syurga mendengar penuturan itu, dan betapa susahnya ahli neraka saat mendengarnya."

(Riwayat Muslim).
.

Friday, November 20, 2009

GANJARAN UNTUK ISTERI

Assalamualaikum...

Seorang isteri haruslah sentiasa berpakaian cantik, kemas dan menghias dirinya di hadapan suami. Sabda Rasullullah yang bermaksud: "Perempuan-perempuan yang menghias diri kepada yang bukan suami atau muhrimnya adalah seperti lembu yang tidak bercahaya di akhirat kelak."

Isteri yang memberi layanan baik kepada suaminya dari masa ke semasa juga dijanjikan pahala berlipat ganda. Ini diterangkan menerusi huraian hadis Rasullullah. Antaranya ialah:

1) Sekali suami meminum air yang disediakan oleh isterinya, seolah-olah lebih baik daripada isteri itu berpuasa setahun.

2) Makanan yang disediakan oleh isteri kepada suaminya seolah-olah lebih baik daripada isteri itu mengerjakan haji dan umrah.

3) Mandi junub si isteri disebabkan jimak oleh suaminya seolah-olah lebih baik baginya daripada mengorbankan 1000 ekor kambing sebagai sedekah kepada fakir miskin.

4) Apabila isteri hamil, ia dicatat sebagai seorang syahid dan khidmat kepada suami sebagai jihad.

5) Pemeliharaan yang baik terhadap anak-anak adalah menjadi benteng neraka.
.

Wednesday, November 18, 2009

ILAK

Assalamualaikum...

ILAK adalah bahasa Arab yang ertinya "SUMPAH". Apa yang dimaksudkan dengan ILAK di sini ialah: "Seseorang suami bersumpah dengan nama Allah ATAU salah satu daripada sifat-sifatnya TIDAK MAHU menyetubuhi isterinya."

Sejarah timbulnya ILAK:

Berlaku di zaman jahiliah apabila seseorang suami itu benci dan marah kepada isterinya, mereka menggunakan sumpah tidak mahu menyetubuhi isterinya. Tujuan sumpah ini supaya isterinya itu menderita kerana tidak dapat bercampur dan merana kerana tidak dapat berkahwin dengan lelaki lain. Perbuatan yang demikian terus diamalkan selepas kedatangan Islam.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Kepada orang-orang yang mengilak isterinya diberi tangguh 4 bulan lamanya, kemudian jika mereka kembali kepada isterinya, maka sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha penyayang."

Syarat sahnya ILAK:

1) Suami.
2) Baligh.
3) Berakal.
4) Boleh melakukan hubungan kelamin.

Lafaz ILAK:

1) Hendaklah sumpah ini dengan nama Allah ATAU salah satu daripada sifat-sifatnya. Ini bermakna, tidak berlaku ILAK jika menggunakan lafaz sumpah selain daripada nama Allah seperti nama nabi atau ka'abah atau lainnya.

2) Lafaz ILAK ini terbahagi kepada 2 bahagian:

i= Sorih (terang): Seperti suami berkata kepada isterinya "BILLAHI" (dengan nama Allah), ATAU tidak akan mensetubuhi awak samada dikaitkan dengan masa atau tidak.

ii= Kinayah (sindiran): Seperti suaminya berkata kepada isterinya; "Demi Allah, aku tidak akan menyentuh awak."

Apabila seseorang mengikat dirinya tidak mahu menyetubuhi isterinya samada disebutkan tempoh masa lebih 4 bulan ATAU tidak, maka dikatakan orang itu berILAK. Samada ILAK/bersumpah dengan nama Allah ATAU sifat-sifatnya, seperti ia berkata "Demi Allah".....ATAU "Demi Rahman! Saya tidak mahu menyetubuhi awak selama 5 bulan". Kalau kurang 5 bulan tidaklah dikatakan ILAK cuma berlaku sumpah sahaja. Hukum ILAK sedemikian adalah haram kerana ia menyiksa jiwa isterinya.

KIFARAH (denda) ILAK:

Seorang suami yang telah bersumpah TIDAK MAHU menyetubuhi isterinya, maka haramlah ke atasnya bersetubuh dengan isterinya melainkan setelah membayar KIFARAH (denda) seperti berikut:

1) Memerdekakan seorang hamba.
2) Memberi makanan kepada 10 orang fakir miskin (setiap seorang dengan kadar secupak (15 tahil) makanan yang mengenyangkan atau...
3) Memberi pakaian lengkap kepada 10 orang fakir miskin.
4) Berpuasa selama 3 hari berturut-turut (bagi memecahkan sumpah).

sumber dari buku Perkahwinan dan Kekeluargaan Dalam Islam terbitan Jabatan Agama Johor.
.

Tuesday, November 17, 2009

TAKLIK

Assalamualaikum....

TAKLIK adalah perkataan Arab yang bererti: Suatu lafaz menggantungkan TALAK dengan bersyarat. TAKLIK yang boleh menjatuhkan TALAK adalah seperti berikut:

Pertama:

TAKLIK yang dibuat oleh suami pada bila-bila masa dan jatuh TALAK dengan melanggar TAKLIK itu. Antara lafaz TAKLIK yang boleh mnggantungkan TALAK itu ialah perkataan; JIKA, APABILA, MANAKALA dan sebagainya yang memberikan pengertian yang serupa dengannya.

CONTOHNYA:
1= JIKA awak masuk rumah ini awak TERTALAK....atau...
2= APABILA awak bercakap dengan si polan itu awak TERTALAK....atau...
3= MANAKALA awak balik kampung tanpa kebenaran saya, awak TERTALAK...

MAKA, gugurlah TALAK isteri yang di TAKLIK itu dengan melakukan perkara-perkara yang diTAKLIKkan itu seperti dalam contoh di atas iaitu:
i= Masuk rumah ini,
ii= Bercakap dengan si polan...dan...
iii= Balik ke kampung tanpa izin.

Kedua:

TAKLIK selepas AKAD NIKAH. Mengikut peraturan akad nikah yang dijalankan di negeri Johor Darul Ta'zim, setiap pasangan yang bernikah, si suami dikehendaki membaca lafaz TAKLIK seperti berikut:

"MANAKALA saya tinggalkan isteri saya.....(nama isteri).....selama 4 bulan hijrah berturut-turut ATAU lebih dengan sengaja ATAU paksa dan saya ATAU wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama masa yang tersebut padahal ia taatkan saya ATAU saya lakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya ATAU kehormatannya ATAU harta bendanya, kemudian ia mengadu ATAU wakilnya mengadu kepada kadi dan MANAKALA sabit aduannya di sisi kadi ATAU mahkamah syariah dan ia ATAU wakilnya memberi kepada kadi bagi pihak saya $1.00 maka ketika itu TERTALAKlah ia dengan satu "TALAK KHULU", ATAU saya ghaib daripada isteri saya yang tersebut selama satu tahun ATAU lebih, jika ia ATAU wakilnya mengadu kepada kadi dengan berkata ianya tidak tertunggu lagi akan saya MANAKALA bersabit aduannya, nescaya TERTALAKlah ia satu TALAK, demikian lafaz TAKLIK saya".

(TAKLIK yang dibaca selepas akad nikah ini hendaklah difahamkan pengertiannya kepada si suami dan didengarkan TAKLIK itu kepada isterinya bagi membolehkan kedua pasangan suami isteri itu menjaga diri atau mengelakkan dari melanggar apa yang diTAKLIKkan itu).

**Sumber dari buku Perkahwinan dan Kekeluargaan Dalam Islam terbitan Jabatan Agama Johor...
.

Saturday, November 14, 2009

HILANGKAN RASA WAS-WAS SOLAT DGN SUJUD SAHWI

(Sekadar berkongsi info yang diambil dari akhbar)
Assalamualaikum...

Daripada Abu Said al-Khudri, katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: "Apabila seseorang was-was atau ragu-ragu dalam solat, tidak mengetahui samada sudah mengerjakan tiga atau empat rakaat, maka ia hendaklah menghilangkan keraguan itu dengan membuat keputusan berdasarkan keyakinan, kemudian sujud dua kali sebelum memberi salam. Sekiranya ia sudah mengerjakan lima rakaat, maka sujud itu menggenapkan solatnya dan jika ia mengerjakan empat rakaat, maka dua sujud itu sebagai penghinaan terhadap syaitan."-(Riwayat Muslim).

Sekiranya seseorang was-was dalam rukun fikli seperti was-was samada sudah mengerjakan tiga atau empat rakaat, dia wajib membuat keputusan dengan mengambil bilangan yang sedikit dan meneruskan sembahyang dengan menambah satu rukun lagi supaya cukup empat rakaat. Kemudian dia dikehendaki melakukan sujud sahwi. Begitu juga jika timbul was-was samada dia sudah mengerjakan sujud yang kedua atau belum. Dia dikehendaki membuat keputusan bahawa dia belum melakukannya dan terus sujud sekali lagi kemudian diikuti dengan sujud sahwi sebelum memberi salam.

Daripada penjelasan di atas, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa apabila berlaku was-was dalam mana-mana rukun fikli, seseorang itu dikehendaki melakukan rukun fikli itu kemudian melakukan sujud sahwi.

Selain was-was dalam rukun fikli, was-was dalam rukun kauli juga mungkin berlaku ketika menunaikan solat. Contohnya, was-was membaca fatihah, tahiyat dalam tahiyat akhir dan selawat ke atas nabi dalam tahiyat akhir. Jika seseorang was-was samada sudah membaca sesuatu rukun kauli atau belum dan dia masih ada dalam kedudukan rukun itu, maka dia hendaklah membaca bacaan berkenaan. Dalam hal ini, dia tidak perlu melakukan sujud sahwi. Bagaimanapun, jika dia was-was samada sudah melakukan rukun kauli itu atau belum, sewaktu ia sedang melakukan rukun lain, dia hendaklah mengulangi semula rukun itu dan dia disunatkan sujud sahwi.

Pernahkah anda menghadapi keadaan ini ketika menunaikan solat?

Sujud sahwi pula ialah sujud dua kali yang dilakukan oleh seseorang yang was-was atau lupa ketika menunaikan solat. Ia dilakukan selepas membaca tahiyat akhir dan sebelum memberi salam. Perintah melakukan sujud sahwi ini ada dalam beberapa hadis Rasulullah s.a.w dan antaranya ialah yang bermaksud:

Daripada Rafaen bin Khlaj. katanya, Rasullullaah s.a.w bersabda: "Aku manusia biasa, aku lupa seperti juga kamu, apabila seseorang terlupa, ia hendaklah sujud sahwi dua kali ketika duduk dalam tahiyat akhir".

nota: (selalu sangat was-was ni....tapi selalunya buat balik semula solat tu...)
.

Monday, November 02, 2009

MUKJIZAT AZAN

Assalamualaikum...

Pesanan semasa mendengar azan:

Kematian itu pasti menjelma. Hanya masa dan waktunya yang tidak kita diketahui. Cuba kita amati, mengapa kebanyakkan orang yang nazak yang sedang menghampiri ajal tidak dapat berkata apa2. Lidahnya kelu serta keras dan hanya mimik mukanya sahaja yang menahan kesakitan 'sakratul maut'.

Diriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud: "Hendaklah kamu mendiamkan diri ketika azan. Jika tidak Allah akan kelukan lidahnya ketika maut menghampirinya." Ini jelas menunjukkan kita disarankan agar mendiamkan diri dan jangan berkata apa2pun sewaktu azan berkumandang.

Sebagai orang yang beragama Islam, kita wajib menghormati azan. Banyak fadilatnya . Sesiapa yang berkata2 ketika azan, Allah akan kelukan lidahnya ketika nazak. Kita takut dengan kelunya lidah kita ketika ajal hampir tiba maka kita tidak dapat mengucap kalimah "Lailahaillallah" yang mana sesiapa yang dapat mengucapkan kalimah ini ketika nyawanya akan dicabut Allah, dengan izinNya menjanjikan syurga untuk mereka.

Dari itu, marilah kita sama2 menghormati azan dan mohon kepada Allah supaya lidah kita tidak kelu ketika nyawa sedang dicabut.

"Ya Allah, anugerahkanlah kami kematian ini dengan kematian yang baik lagi mulia. Lancarkan lidah kami mengucapkan kalimah "Lailahaillallah" semasa sakratul maut menghampiri kami . Amin....amin...amin...Ya robbal a'lamin...

WASIAT NABI MUHAMMAD s.a.w kepada SAIDINA ALI r.a:

"Wahai Ali, bagi orang ALIM itu ada 3 tanda2nya":
1) Jujur dalam berkata-kata.
2) Menjauhi segala yang haram.
3) Merendahkan diri.

"Wahai Ali, bagi orang yang JUJUR itu ada 3 tanda2nya":
1) Merahsiakan ibadahnya.
2) Merahsiakan sedekahnya.
3) Merahsiakan ujian yang menimpanya.

"Wahai Ali, bagi orang yang TAKWA itu ada 3 tanda2nya":
1) Takut berlaku dusta dan keji.
2) Menjauhi kejahatan.
3) Memohon yang halal kerana takut jatuh dalam keharaman.

"Wahai Ali, bagi AHLI IBADAH itu ada 3 tanda2nya":
1) Mengawasi dirinya.
2) Menghisab dirinya.
3) Memperbanyakkan ibadah kepada Allah s.w.t.

Wang rm50 kelihatan begitu besar bila dibawa ke kotak derma masjid, tetapi begitu kecil jika kita bawa ke supermarket. 45 minit terasa begitu lama untuk berzikir, tetapi betapa pendeknya waktu itu untuk perlawanan bolasepak. Semua insan ingin memasuki syurga tetapi tidak ramai yang berfikir dan berbicara tentang bagaimana cara untuk memasukinya. Wallahua'lam...
.