Friday, May 21, 2010

BERSUCI DARI NAJIS...

Assalamualaikum...

Erti bersuci:
Membersihkan diri dari kekotoran. Adapun pada syarak ialah menghilangkan atau mengangkat segala perkara yang menghalang daripada sahnya sembahyang dan ibadah-ibadah yang lain sama ada hadas atau najis.

Erti najis:
Segala kekotoran yang menghalang daripada sahnya ibadat seperti sembahyang. Najis terbahagi kepada dua iaitu Najis Ainiyah (yang dapat dilihat dengan mata) dan Najis Hukmiyah (najis pada hukumnya).

Jenis-jenis najis:
1) Najis Mughallazah (najis yang berat).
~> Ertinya najis yang tidak dimaafkan iaitu najis anjing dan babi serta anak yang terjadi dari percampuran kedua binatang itu dengan binatang lain. Maka segala binatang ini sama ada dagingnya, air liurnya, bulunya, lemaknya, tulangnya, peluhnya, kotorannya dan lain-lain mengenainya adalah najis Mughallazah.

Cara menyuci najis Mughallazah:
~> Caranya hendaklah dibuangkan benda najis itu dahulu kemudian dibasuhkan tempat yang kena najis itu dengan air sebanyak tujuh kali dan satu daripadanya air yang bercampur dengan tanah.

2) Najis Mutawasitah (najis pertengahan).
~> Ertinya najis yang lain daripada Najis Mughallazah dan Mukhaffafah iaitu:

i) Segala yang keluar dari qubul dan dubur manusia atau haiwan seperti mazi, wadi, kencing, najis manusia dan haiwan melainkan air mani manusia.

ii) Darah selain dari hati dan limpa, nanah, muntah, bangkai binatang yang mengalir darahnya.

iii) Arak dan segala jenis yang memabukkan.

iv) Susu binatang yang tidak halal dimakan dagingnya.

Cara menyucikan Najis Mutawasitah:
~> Cara menyucikannya hendaklah menghilangkan benda najis itu terlebih dahulu barulah dibasuh tempat yang kena najis itu dengan air sehingga hilang bau, rasa dan warna najis tersebut. Tidak mengapa jika sudah dibasuh tetapi masih tinggal lagi warna najis itu ATAU bau najis yang sukar dihilangkan, tetapi belum sempurna sucinya jika masih lagi tinggal kedua warna dan bau najis itu (kena hilangkan salah satu).

3) Najis Mukhaffafah (najis yang ringan).
~> Ertinya najis yang ringan iaitu air kencing bayi lelaki yang belum berusia dua tahun dan belum memakan selain daripada susu ibunya semata-mata.

Cara menyucikan Najis Mukhaffafah:
~> Caranya hendaklah dikesat najis itu dahulu kemudian dipercikkan sahaja air ke atas tempat yang terkena najis tersebut.

Najis yang boleh menjadi suci iaitu:
i) Arak atau tuak yang bertukar menjadi cuka dengan sendirinya.

ii) Kulit bangkai yang sudah disamak kecuali kulit bangkai babi dan anjing.

Najis yang boleh dimaafkan:
i) Bangkai binatang yang tidak mengalir darahnya ketika hidup seperti lalat, lipas, nyamuk. Jika ia jatuh ke dalam air, dihukum air itu suci.

ii) Darah, nanah, muntah yang sedikit seperti darah nyamuk, kutu atau najis pada kaki lalat. Jika terkena pakaian hukumnya dimaafkan.

iii) Najis yang halus yang tidak dapat dilihat oleh mata kebanyakan orang.

~> Sumber dari buku Soal Jawab Fardhu 'Ain dan Amalan Keluarga Bahagia susunan Ustazah Hajah Raimah Kamat dan Ustazah Fazilah Ahmad.