Assalamualaikum...
Soalan:
Apakah hukum menggunakan bekas samada yang diperbuat daripada emas dan perak yang digunakan untuk makan dan minum. Apa pula hukumnya orang lelaki menggunakan sutera, samada untuk dijadikan pakaian, tempat duduk atau bersandar, juga untuk dijadikan tabir.
Jawapan:
Imam Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali berpendapat bahawa menggunakan bekas samada yang diperbuat daripada emas dan perak adalah HARAM.
Junjungan kita Rasullullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud: "Jangan sesekali kamu memakai sutera tulin dan sutera campuran dan jangan minum menggunakan bekas yang diperbuat daripada emas dan perak, juga jangan kamu memakan dalam pinggan-pinggannya kerana ianya adalah untuk mereka (orang-orang kafir di dunia)."
Sebuah hadis lain daripada Ummu Salamah berkata: "Telah bersabda Rasulullah S.A.W: Barangsiapa minum dengan menggunakan bekas daripada emas dan perak, sesungguhnya dia mencampakkan dalam perutnya api Neraka Jahannam."
Mengenai sutera pula, para ulama telah bersependapat mangatakan bahawa HARAM bagi kaum lelaki memakai pakaian yang diperbuat dari sutera. Walaupun demikian, para ulama berselisih pendapat mengenai kain sutera yang digunakan untuk tujuan alas duduk, alas tempat bersandar dan seumpamanya.
Imam Syafie berpendapat bahawa orang lelaki juga HARAM menggunakan kain sutera untuk alas bersandar, sama seperti memakainya. Tegahan menggunakan sutera bagi kaum lelaki seperti yang tersebut jelas dalam hadis di atas, bukan setakat pada memakainya, tetapi termasuk dalam semua penggunaan seperti untuk alas tempat duduk, alas bersandar, cadar tempat tidur dan sebagainya.
Walaupun demikian, Imam Syafie berpendapat adalah HARUS bagi kaum lelaki memakai pakaian sutera ketika berperang. Begitu juga pendapat Imam Maliki, Abu Yusuf dan Muhammad bin al-Hassan.
(Tanya Jawab Agama oleh Dr. Amran Kasimin-UKM).
.
1 comment:
Salam, blog SEHARUM KAYU MANIS bukan lagi milik saya. Sila buang blog tersebut dari senarai link anda. Terima kasih.
Post a Comment