Wednesday, December 23, 2009

PANDUAN MELAKUKAN SOLAT SUBUH

Assalamualaikum....

Kita selalu melayari Youtube untuk mencari lagu2 terbaru yang menjadi kegilaan ramai. Tetapi kita selalu lupa untuk mencari bahan2 yang berguna yang terdapat di Youtube juga. Marilah sama2 kita perbaiki solat kerana solat itu tiang agama...



Tuesday, December 22, 2009

RAHSIA SURAH YAASIN AYAT KE-58

Assalamualaikum...

Barangsiapa yang membaca Yassin sepenuhnya dan pada ayat ke-58 surah tersebut iaitu "Salaamun-qaulam-mirrobbir-rohimm" diulang sebangak 7 kali untuk 7 niat baikmu, insyaallah dengan izin yang Maha Esa dan Maha Kuasa , semua hajatmu akan dimakbulkan. Jika boleh, niatkanlah sebegini:

1) Ya Allah Ya Rahim:
~> Ampunkan dosa-dosaku dan dosa-dosa saudara maraku.

2) Ya Allah Ya Rahman:
~> Kurniakan aku isteri/suami, anak-anak yang soleh dan mencintai Islam.

3) Ya Allah Ya Razzak:
~> Kurniakan aku rezeki yang berkat, kerja yang baik dan berjaya di dunia dan akhirat.

4) Ya Allah Ya Jabbar:
~> Makbulkan hajat penghantar maklumat yang aku dapat ini.

5) Ya Allah Ya Mutaqabbir:
~> Jauhkan aku dari sifat khianat dan munafiq serta miskin.

6) Ya Allah Ya Waduud:
~> Kurniakan aku dan seluruh umat Muhammad yang beriman kesihatan yang baik zahir bathin.

7) Ya Allah Ya Zaljalaa-liwal-iqram:
~> Makbulkanlah semua hajatku dan redhailah aku.

Amin...Ya Rabbal-a'laamin...
.

Tuesday, December 01, 2009

BERSABAR HADAPI SAKIT

Assalamualaikum....

Setiap manusia tidak lari daripada ditimpa sakit dan sebagai umat Islam, sewajarnya kita menguatkan jiwa untuk mengharung segala kesakitan dan penderitaan. Dalam menghadapi penderitaan inilah tersedia ganjaran besar untuk mereka yang terus bersabar dan redha dengan ketentuan Allah S.W.T.

Hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim menyebut: "Sesiapa sahaja di kalangan umat Islam yang ditimpa kesakitan daripada penyakit, maka tidak ada selainnya melainkan Allah akan menggugurkan kejahatannya (dosa kecil) dengan sebabnya seperti mana pokok menggugurkan daunnya."

Dalam hadis ada diceritakan bahawa Rasulullah S.A.W pernah mengemukakan pertanyaan kepada para sahabat: "Siapakah di kalangan kamu yang suka sentiasa sihat tanpa sakit?"

Jawab para sahabat: "Kesemua kami."

Baginda bertanya lagi: "Adakah kamu suka menjadi seperti keldai liar yang mengganas? Tidakkah kamu suka menjadi orang yang ditimpa bala dan orang yang mendapat penghapusan dosa? Demi diriku di bawah kekuasaanNya, sesungguhnya Allah pasti menguji orang mukmin dengan bala dan apa yang diuji itu tidak lain melainkan untuk memuliakannya."

Sabda Rasulullah S.A.W lagi yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang sakit itu mengerangnya adalah tasbih, jeritan dan tidurnya adalah ibadah, nafasnya adalah sedekah dan berbalik-balik ke kiri dan kanan itu adalah memerangi musuh, iaitu sama pada pahalanya."

Dalam Ihya pula ada menyebut sebuah hadis yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah S.W.T mengutuskan kepada seorang yang sakit itu dua malaikat untuk melihat apa yang dikatakannya kepada pengunjungnya. Sekiranya dia mengucapkan tahmid dan pujian kepada Allah, Allah berfirman: "Bagi hambaKu, sekiranya Aku mematikannya nescaya Aku memasukkannya ke dalam syurga. Dan sekiranya Aku menyembuhkan nya nescaya Aku menggantikan daging badannya yang lebih baik daripada sebelum ini, darah yang lebih baik daripada darahnya serta Aku hapuskan kejahatannya. Kelebihan Allah lebih luas daripada semua itu."
.

Tuesday, November 24, 2009

SOAL dan JAWAB

Assalamualaikum...

Soalan:

Apakah hukum menggunakan bekas samada yang diperbuat daripada emas dan perak yang digunakan untuk makan dan minum. Apa pula hukumnya orang lelaki menggunakan sutera, samada untuk dijadikan pakaian, tempat duduk atau bersandar, juga untuk dijadikan tabir.

Jawapan:

Imam Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali berpendapat bahawa menggunakan bekas samada yang diperbuat daripada emas dan perak adalah HARAM.

Junjungan kita Rasullullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud: "Jangan sesekali kamu memakai sutera tulin dan sutera campuran dan jangan minum menggunakan bekas yang diperbuat daripada emas dan perak, juga jangan kamu memakan dalam pinggan-pinggannya kerana ianya adalah untuk mereka (orang-orang kafir di dunia)."

Sebuah hadis lain daripada Ummu Salamah berkata: "Telah bersabda Rasulullah S.A.W: Barangsiapa minum dengan menggunakan bekas daripada emas dan perak, sesungguhnya dia mencampakkan dalam perutnya api Neraka Jahannam."

Mengenai sutera pula, para ulama telah bersependapat mangatakan bahawa HARAM bagi kaum lelaki memakai pakaian yang diperbuat dari sutera. Walaupun demikian, para ulama berselisih pendapat mengenai kain sutera yang digunakan untuk tujuan alas duduk, alas tempat bersandar dan seumpamanya.

Imam Syafie berpendapat bahawa orang lelaki juga HARAM menggunakan kain sutera untuk alas bersandar, sama seperti memakainya. Tegahan menggunakan sutera bagi kaum lelaki seperti yang tersebut jelas dalam hadis di atas, bukan setakat pada memakainya, tetapi termasuk dalam semua penggunaan seperti untuk alas tempat duduk, alas bersandar, cadar tempat tidur dan sebagainya.

Walaupun demikian, Imam Syafie berpendapat adalah HARUS bagi kaum lelaki memakai pakaian sutera ketika berperang. Begitu juga pendapat Imam Maliki, Abu Yusuf dan Muhammad bin al-Hassan.

(Tanya Jawab Agama oleh Dr. Amran Kasimin-UKM).
.

Saturday, November 21, 2009

SEKADAR RENUNGAN (10)

Assalamualaikum....

UMUR LALAT:

Anas bin Malik r.a berkata, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda:

"Umur lalat adalah 40 malam, dan semua bangsa lalat adalah di dalam neraka, kecuali lebah/tawon."

(Riwayat Haisami).

--------------------------------------------------------------------------------------------------

KEMATIAN DISEMBELIH:

Abdullah bin Umar r.a berkata, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda:

"Apabila ahli syurga telah berada di dalam syurga, dan ahli neraka telah tinggal di dalam neraka, maka didatangkan kematian serta diletakkan antara syurga dan neraka, lalu disembelihnya, kemudian malaikat menyeru keras:

Wahai ahli syurga! Tiada kematian lagi bagimu! Wahai ahli neraka! Tiada kematian lagi bagimu! Maka betapa gembira ahli syurga mendengar penuturan itu, dan betapa susahnya ahli neraka saat mendengarnya."

(Riwayat Muslim).
.

Friday, November 20, 2009

GANJARAN UNTUK ISTERI

Assalamualaikum...

Seorang isteri haruslah sentiasa berpakaian cantik, kemas dan menghias dirinya di hadapan suami. Sabda Rasullullah yang bermaksud: "Perempuan-perempuan yang menghias diri kepada yang bukan suami atau muhrimnya adalah seperti lembu yang tidak bercahaya di akhirat kelak."

Isteri yang memberi layanan baik kepada suaminya dari masa ke semasa juga dijanjikan pahala berlipat ganda. Ini diterangkan menerusi huraian hadis Rasullullah. Antaranya ialah:

1) Sekali suami meminum air yang disediakan oleh isterinya, seolah-olah lebih baik daripada isteri itu berpuasa setahun.

2) Makanan yang disediakan oleh isteri kepada suaminya seolah-olah lebih baik daripada isteri itu mengerjakan haji dan umrah.

3) Mandi junub si isteri disebabkan jimak oleh suaminya seolah-olah lebih baik baginya daripada mengorbankan 1000 ekor kambing sebagai sedekah kepada fakir miskin.

4) Apabila isteri hamil, ia dicatat sebagai seorang syahid dan khidmat kepada suami sebagai jihad.

5) Pemeliharaan yang baik terhadap anak-anak adalah menjadi benteng neraka.
.

Wednesday, November 18, 2009

ILAK

Assalamualaikum...

ILAK adalah bahasa Arab yang ertinya "SUMPAH". Apa yang dimaksudkan dengan ILAK di sini ialah: "Seseorang suami bersumpah dengan nama Allah ATAU salah satu daripada sifat-sifatnya TIDAK MAHU menyetubuhi isterinya."

Sejarah timbulnya ILAK:

Berlaku di zaman jahiliah apabila seseorang suami itu benci dan marah kepada isterinya, mereka menggunakan sumpah tidak mahu menyetubuhi isterinya. Tujuan sumpah ini supaya isterinya itu menderita kerana tidak dapat bercampur dan merana kerana tidak dapat berkahwin dengan lelaki lain. Perbuatan yang demikian terus diamalkan selepas kedatangan Islam.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Kepada orang-orang yang mengilak isterinya diberi tangguh 4 bulan lamanya, kemudian jika mereka kembali kepada isterinya, maka sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha penyayang."

Syarat sahnya ILAK:

1) Suami.
2) Baligh.
3) Berakal.
4) Boleh melakukan hubungan kelamin.

Lafaz ILAK:

1) Hendaklah sumpah ini dengan nama Allah ATAU salah satu daripada sifat-sifatnya. Ini bermakna, tidak berlaku ILAK jika menggunakan lafaz sumpah selain daripada nama Allah seperti nama nabi atau ka'abah atau lainnya.

2) Lafaz ILAK ini terbahagi kepada 2 bahagian:

i= Sorih (terang): Seperti suami berkata kepada isterinya "BILLAHI" (dengan nama Allah), ATAU tidak akan mensetubuhi awak samada dikaitkan dengan masa atau tidak.

ii= Kinayah (sindiran): Seperti suaminya berkata kepada isterinya; "Demi Allah, aku tidak akan menyentuh awak."

Apabila seseorang mengikat dirinya tidak mahu menyetubuhi isterinya samada disebutkan tempoh masa lebih 4 bulan ATAU tidak, maka dikatakan orang itu berILAK. Samada ILAK/bersumpah dengan nama Allah ATAU sifat-sifatnya, seperti ia berkata "Demi Allah".....ATAU "Demi Rahman! Saya tidak mahu menyetubuhi awak selama 5 bulan". Kalau kurang 5 bulan tidaklah dikatakan ILAK cuma berlaku sumpah sahaja. Hukum ILAK sedemikian adalah haram kerana ia menyiksa jiwa isterinya.

KIFARAH (denda) ILAK:

Seorang suami yang telah bersumpah TIDAK MAHU menyetubuhi isterinya, maka haramlah ke atasnya bersetubuh dengan isterinya melainkan setelah membayar KIFARAH (denda) seperti berikut:

1) Memerdekakan seorang hamba.
2) Memberi makanan kepada 10 orang fakir miskin (setiap seorang dengan kadar secupak (15 tahil) makanan yang mengenyangkan atau...
3) Memberi pakaian lengkap kepada 10 orang fakir miskin.
4) Berpuasa selama 3 hari berturut-turut (bagi memecahkan sumpah).

sumber dari buku Perkahwinan dan Kekeluargaan Dalam Islam terbitan Jabatan Agama Johor.
.

Tuesday, November 17, 2009

TAKLIK

Assalamualaikum....

TAKLIK adalah perkataan Arab yang bererti: Suatu lafaz menggantungkan TALAK dengan bersyarat. TAKLIK yang boleh menjatuhkan TALAK adalah seperti berikut:

Pertama:

TAKLIK yang dibuat oleh suami pada bila-bila masa dan jatuh TALAK dengan melanggar TAKLIK itu. Antara lafaz TAKLIK yang boleh mnggantungkan TALAK itu ialah perkataan; JIKA, APABILA, MANAKALA dan sebagainya yang memberikan pengertian yang serupa dengannya.

CONTOHNYA:
1= JIKA awak masuk rumah ini awak TERTALAK....atau...
2= APABILA awak bercakap dengan si polan itu awak TERTALAK....atau...
3= MANAKALA awak balik kampung tanpa kebenaran saya, awak TERTALAK...

MAKA, gugurlah TALAK isteri yang di TAKLIK itu dengan melakukan perkara-perkara yang diTAKLIKkan itu seperti dalam contoh di atas iaitu:
i= Masuk rumah ini,
ii= Bercakap dengan si polan...dan...
iii= Balik ke kampung tanpa izin.

Kedua:

TAKLIK selepas AKAD NIKAH. Mengikut peraturan akad nikah yang dijalankan di negeri Johor Darul Ta'zim, setiap pasangan yang bernikah, si suami dikehendaki membaca lafaz TAKLIK seperti berikut:

"MANAKALA saya tinggalkan isteri saya.....(nama isteri).....selama 4 bulan hijrah berturut-turut ATAU lebih dengan sengaja ATAU paksa dan saya ATAU wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama masa yang tersebut padahal ia taatkan saya ATAU saya lakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya ATAU kehormatannya ATAU harta bendanya, kemudian ia mengadu ATAU wakilnya mengadu kepada kadi dan MANAKALA sabit aduannya di sisi kadi ATAU mahkamah syariah dan ia ATAU wakilnya memberi kepada kadi bagi pihak saya $1.00 maka ketika itu TERTALAKlah ia dengan satu "TALAK KHULU", ATAU saya ghaib daripada isteri saya yang tersebut selama satu tahun ATAU lebih, jika ia ATAU wakilnya mengadu kepada kadi dengan berkata ianya tidak tertunggu lagi akan saya MANAKALA bersabit aduannya, nescaya TERTALAKlah ia satu TALAK, demikian lafaz TAKLIK saya".

(TAKLIK yang dibaca selepas akad nikah ini hendaklah difahamkan pengertiannya kepada si suami dan didengarkan TAKLIK itu kepada isterinya bagi membolehkan kedua pasangan suami isteri itu menjaga diri atau mengelakkan dari melanggar apa yang diTAKLIKkan itu).

**Sumber dari buku Perkahwinan dan Kekeluargaan Dalam Islam terbitan Jabatan Agama Johor...
.

Saturday, November 14, 2009

HILANGKAN RASA WAS-WAS SOLAT DGN SUJUD SAHWI

(Sekadar berkongsi info yang diambil dari akhbar)
Assalamualaikum...

Daripada Abu Said al-Khudri, katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: "Apabila seseorang was-was atau ragu-ragu dalam solat, tidak mengetahui samada sudah mengerjakan tiga atau empat rakaat, maka ia hendaklah menghilangkan keraguan itu dengan membuat keputusan berdasarkan keyakinan, kemudian sujud dua kali sebelum memberi salam. Sekiranya ia sudah mengerjakan lima rakaat, maka sujud itu menggenapkan solatnya dan jika ia mengerjakan empat rakaat, maka dua sujud itu sebagai penghinaan terhadap syaitan."-(Riwayat Muslim).

Sekiranya seseorang was-was dalam rukun fikli seperti was-was samada sudah mengerjakan tiga atau empat rakaat, dia wajib membuat keputusan dengan mengambil bilangan yang sedikit dan meneruskan sembahyang dengan menambah satu rukun lagi supaya cukup empat rakaat. Kemudian dia dikehendaki melakukan sujud sahwi. Begitu juga jika timbul was-was samada dia sudah mengerjakan sujud yang kedua atau belum. Dia dikehendaki membuat keputusan bahawa dia belum melakukannya dan terus sujud sekali lagi kemudian diikuti dengan sujud sahwi sebelum memberi salam.

Daripada penjelasan di atas, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa apabila berlaku was-was dalam mana-mana rukun fikli, seseorang itu dikehendaki melakukan rukun fikli itu kemudian melakukan sujud sahwi.

Selain was-was dalam rukun fikli, was-was dalam rukun kauli juga mungkin berlaku ketika menunaikan solat. Contohnya, was-was membaca fatihah, tahiyat dalam tahiyat akhir dan selawat ke atas nabi dalam tahiyat akhir. Jika seseorang was-was samada sudah membaca sesuatu rukun kauli atau belum dan dia masih ada dalam kedudukan rukun itu, maka dia hendaklah membaca bacaan berkenaan. Dalam hal ini, dia tidak perlu melakukan sujud sahwi. Bagaimanapun, jika dia was-was samada sudah melakukan rukun kauli itu atau belum, sewaktu ia sedang melakukan rukun lain, dia hendaklah mengulangi semula rukun itu dan dia disunatkan sujud sahwi.

Pernahkah anda menghadapi keadaan ini ketika menunaikan solat?

Sujud sahwi pula ialah sujud dua kali yang dilakukan oleh seseorang yang was-was atau lupa ketika menunaikan solat. Ia dilakukan selepas membaca tahiyat akhir dan sebelum memberi salam. Perintah melakukan sujud sahwi ini ada dalam beberapa hadis Rasulullah s.a.w dan antaranya ialah yang bermaksud:

Daripada Rafaen bin Khlaj. katanya, Rasullullaah s.a.w bersabda: "Aku manusia biasa, aku lupa seperti juga kamu, apabila seseorang terlupa, ia hendaklah sujud sahwi dua kali ketika duduk dalam tahiyat akhir".

nota: (selalu sangat was-was ni....tapi selalunya buat balik semula solat tu...)
.

Monday, November 02, 2009

MUKJIZAT AZAN

Assalamualaikum...

Pesanan semasa mendengar azan:

Kematian itu pasti menjelma. Hanya masa dan waktunya yang tidak kita diketahui. Cuba kita amati, mengapa kebanyakkan orang yang nazak yang sedang menghampiri ajal tidak dapat berkata apa2. Lidahnya kelu serta keras dan hanya mimik mukanya sahaja yang menahan kesakitan 'sakratul maut'.

Diriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud: "Hendaklah kamu mendiamkan diri ketika azan. Jika tidak Allah akan kelukan lidahnya ketika maut menghampirinya." Ini jelas menunjukkan kita disarankan agar mendiamkan diri dan jangan berkata apa2pun sewaktu azan berkumandang.

Sebagai orang yang beragama Islam, kita wajib menghormati azan. Banyak fadilatnya . Sesiapa yang berkata2 ketika azan, Allah akan kelukan lidahnya ketika nazak. Kita takut dengan kelunya lidah kita ketika ajal hampir tiba maka kita tidak dapat mengucap kalimah "Lailahaillallah" yang mana sesiapa yang dapat mengucapkan kalimah ini ketika nyawanya akan dicabut Allah, dengan izinNya menjanjikan syurga untuk mereka.

Dari itu, marilah kita sama2 menghormati azan dan mohon kepada Allah supaya lidah kita tidak kelu ketika nyawa sedang dicabut.

"Ya Allah, anugerahkanlah kami kematian ini dengan kematian yang baik lagi mulia. Lancarkan lidah kami mengucapkan kalimah "Lailahaillallah" semasa sakratul maut menghampiri kami . Amin....amin...amin...Ya robbal a'lamin...

WASIAT NABI MUHAMMAD s.a.w kepada SAIDINA ALI r.a:

"Wahai Ali, bagi orang ALIM itu ada 3 tanda2nya":
1) Jujur dalam berkata-kata.
2) Menjauhi segala yang haram.
3) Merendahkan diri.

"Wahai Ali, bagi orang yang JUJUR itu ada 3 tanda2nya":
1) Merahsiakan ibadahnya.
2) Merahsiakan sedekahnya.
3) Merahsiakan ujian yang menimpanya.

"Wahai Ali, bagi orang yang TAKWA itu ada 3 tanda2nya":
1) Takut berlaku dusta dan keji.
2) Menjauhi kejahatan.
3) Memohon yang halal kerana takut jatuh dalam keharaman.

"Wahai Ali, bagi AHLI IBADAH itu ada 3 tanda2nya":
1) Mengawasi dirinya.
2) Menghisab dirinya.
3) Memperbanyakkan ibadah kepada Allah s.w.t.

Wang rm50 kelihatan begitu besar bila dibawa ke kotak derma masjid, tetapi begitu kecil jika kita bawa ke supermarket. 45 minit terasa begitu lama untuk berzikir, tetapi betapa pendeknya waktu itu untuk perlawanan bolasepak. Semua insan ingin memasuki syurga tetapi tidak ramai yang berfikir dan berbicara tentang bagaimana cara untuk memasukinya. Wallahua'lam...
.

Saturday, October 31, 2009

TANDA2 7-3-1-AKHIR HARI SEBELUM MATI

Assalamualaikum....

Kesinambungan 2...

Tanda2 7 hari sebelum hari mati:

Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak mahu makan tetapi secara tiba2 ianya berselera untuk makan.

Tanda2 3 hari sebelum hari mati:

Pada ketika ini akan merasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu diantara dahi kanan dan dahi kiri. Jika tanda ini dapat dikesan, maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti.

Ketika ini juga, mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit, hidungnya akan perlahan2 jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu di mana bahagian hujungnya akan beransur2 masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan2 jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

Tanda2 1 hari sebelum hari mati:

Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di bahagian belakang iaitu di kawasan ubun2 di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokkan harinya.

Tanda2 akhir sebelum hari mati:

Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikat maut untuk menjemput kita kembali kepada Allah s.w.t yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.

Sesungguhnya mengingati mati itu dituntut oleh agama. Berpesan2lah sesama kita. Moga kita mendapat petunjuk dari Allah. Wallahu'alam...
.

Wednesday, October 28, 2009

TANDA2 40 HARI SEBELUM HARI MATI

Assalamualaikum.....

Kesinambungan 1...

Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini, daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah s.w.t.

Maka Malaikat Maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita, antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa. Akan terjadi bila Malaikat Maut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika.

Adapun malaikat Maut ini ujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.
.

Tuesday, October 27, 2009

TANDA2 100 HARI SEBELUM HARI MATI

Assalamualaikum...(Baca dengan teliti...)

Ini adalah tanda pertama daripada Allah s.w.t kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka yang dikehendakinya. Walaubagaimanapun, semua orang Islam akan mendapat tanda2 ini cuma samada mereka sedar atau tidak sahaja. Tanda2 ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar.

Seluruh tubuh iaitu bermula dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan2 menggigil. Contohnya seperti daging lembu yang baru sahaja disembelih di mana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan2 bergetar.

Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka yang sedar dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati, maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda tersebut.

Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian, tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang manafaat.

Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini, maka ini adalah peluang terbaik untuk memanafaatkan masa yang ada dan mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.
.

Sunday, October 25, 2009

RENUNGKANLAH

Assalamualaikum....


Bismillah....


Terdapat beberapa perkara yang mempunyai kaitan dengan kesusahan atau secara lebih khusus sebagai penyebab ditimpa kesusahan dan penderitaan yang mana pada kebiasaannya kita mengambil ringan tentang perkara tersebut. Dalam kitab Al-Barakah fi Fadhl lis Sa'yi Wal Harakah yang disusun oleh Abi Abdillah Muhammad bin Abdul Rahman Al-Habsyi telah diterangkan perkara yang mempunyai hubung kait dengan kesusahan seseorang.


1. Tidak sembahyang atau solat.
2. Tidak membaca Bismillah ketika hendak makan.
3. Makan atas pinggan yang terbalik.
4. Memakai kasut atau sandal memulakan sebelah kiri.
5. Menganggap ringan apa2 yang terjatuh dalam hidangan makanan.
6. Berwuduk' di tempat buang air besar atau air kecil.
7. Suka bersandar pada pintu rumah.
8. Suka duduk di atas tangga.
9. Membiasakan diri mencuci tangan di dalam pinggan selepas makan.
10. Membasuh tangan dengan tanah atau bekas tepung.
11. Tidak membersihkan rumah.
12. Membuang sampah atau menyapu dengan kain.
13. Suka membersihkan rumah pada waktu malam.
14. Suka tidur di atas muka.
15. Membakar kulit bawang.
16. Menjahit baju yang sedang dipakai.
17. Mengelap muka dengan baju.
18. Berdiri sambil bercekak pinggang.
19. Tidur dengan tidak memakai baju.
20. Makan sebelum mandi hadas.
21. Tergesa-gesa keluar dari masjid selepas menunaikan solat subuh.
22. Pergi ke pasar sebelum matahari terbit.
23. Lambat pulang dari masjid.
24. Doakan perkara yang tidak baik terhadap ibubapa dan anak-anak.
25. Kebiasaan tidak menutup makan yang dihidangkan.
26. Suka memadam pelita dengan nafas.
27. Membuang kutu kepala dalam keadaan hidup.
28. Membasuh kaki dengan tangan kanan.
29. Membuang air kecil pada air yang mengalir.
30. Memakai seluar sambil berdiri.
31. Memakai serban sambil duduk.
32. Mandi junub di tempat buang air atau tempat najis.
33. Makan dengan menggunakan dua jari.
34. Berjalan di antara kambing.
35. Berjalan di antara dua perempuan.
36. Suka mempermainkan janggut.
37. Suka meletakkan jari jemari tangan pada bahagian lutut.
38. Meletakkan tapak tangan pada hidung.
39. Suka menggigit kuku dengan mulut.
40. Mendedahkan aurat di bawah sinaran matahari dan bulan.
41. Mengadap kiblat ketika membuang air besar atau air kecil.
42. Menguap ketika solat.
43. Meludah di tempat buang air besar atau air kecil.

.

Tuesday, October 20, 2009

5 PERKARA UNTUK DIKONGSI

Assalamualaikum....

5 perkara semua kita mahukannya, dan kita usaha untuk mendapatkannya.
>
خمسة أشياء كلنا نريدها و نحاول الحصول عليها


Wajah yang cantik.
> 1-وجه جميل

Duit yang banyak.

> 2- فلوس بالملاين

Kesihatan yang baik.

> 3- صحة قوية

Anak2 yang cerdik dan berjaya macam kita.

> 4- اولاد شاطرين وفالحين مثلنا

Tidur yang nyenyak tanpa gangguan.

> 5- نوم عميق من دون مهدئات و أدوية

Senang je untuk mendapatkannya. Hanya 15 minit setiap hari.
> سهلة جدا و بوصفة سحرية و سهلة تستغرق 15 دقيقة يومياً ! كيف؟؟؟؟؟

Kata Nabi s.a.w:
> قال رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم :

Siapa yang tinggalkan solat Subuh, tiadalah padanya Nur di wajahnya dan siapa yang tinggalkan solat Zohor, tiadalah padanya rezeki yang berkat.
> من ترك صلاة الصبح فليس في وجهه نور و من ترك صلاة الظهر فليس في رزقه

Dan barangsiapa yang tinggalkan solat Asar, tiadalah padanya kekuatan badan, dan siapa yang tinggalkan solat Maghrib, tiadalah padanya anak2 yang bermanafa'at.
> بركة و من ترك صلاة العصر فليس في جسمه قوة و من ترك صلاة المغرب فليس في

Dan barangsiapa yang tinggalkan solat Isya', tiadalah padanya tidur yang nyenyak.
> أولاده ثمرة و من ترك صلاة العشاء فليس في نومه راحة

Sampaikanlah daripada Nabi s.a.w itu walaupun satu ayat.
> بلغ عن الرسول (صلى الله عليه وآله وسلم ) ولو آية

.

Friday, October 16, 2009

PERKARA DILARANG KETIKA SOLAT

Assalamualaikum.....

: Menempelkan satu kaki dengan yang lain ketika berdiri.
: Berdiri di atas satu kaki.


  • 1) Duduk di antara dua sujud dengan kedua-dua lutut terangkat ke atas dan telapak tangan di lantai atau duduk di atas lutut dan jari kaki tegak berdiri tanpa kaki menyentuh lantai.

  • 2) Memasukkan kedua-dua tangan ke baju ketika berdiri, rukuk dan sujud. Keadaan itu menyerupai orang Yahudi dalam solat mereka.

  • 3) Mengangkat pakaian (sarung dan celana) ketika sujud sama ada dari arah depan atau belakang. Hal yang sama bagi lelaki menyelak rambut ketika solat. Nabi Muhammad s.a.w bersabda, maksudnya: "Aku diperintahkan bersujud di atas tujuh anggota tubuh dan tidak menyingkap pakaian atau rambut".

  • 4) Bercekak pinggang atau menjauhkan kedua-dua pangkal lengan dari dada.

  • 5) Menyambung antara bacaan al-Fatihah dan takbiratul ihram serta antara rukuk dan bacaan surah. Hal ini tidak disukai jika seseorang itu menjadi imam. Sepatutnya, ia berdiam diri sebelum membaca al-Fatihah dan rukuk.

    Makmum pula hendaklah tidak menyambung takbiratul ihramnya sendiri dengan takbiratul ihram imam serta ucapan salamnya dengan salam imam.

    Ia perlu berdiam diri sejenak sebelum takbiratul ihram mengikut imam dan sebelum mengucapkan salam selepas salam imam.

    Bagi imam dan makmum, jangan sesekali menyambung ucapan salam pertama dengan yang kedua dan memisahkan kedua-duanya dengan diam sejenak.

  • 6) Solat dalam keadaan mahu membuang air kecil atau besar kerana ia boleh mengganggu khusyuk dalam solat.

  • 7) Jangan bersolat ketika perut dalam keadaan sangat lapar apatah lagi ketika itu makanan disediakan. Nabi Muhammad s.a.w bersabda, maksudnya "Apabila diserukan solat Isya sedang makan malam siap, dahulukan makan sebelum mengerjakan solat Isya' kecuali apabila waktu solat tinggal sedikit atau hatinya mantap, tidak terpengaruh."

  • 8) Beberapa ulama salaf berkata: Empat perkara tidak patut dilakukan dalam solat iaitu berpaling, mengusap muka, mempermainkan batu kerikil (di tempat solat) dan solat di tempat lalu lintas.

  • 9) Beberapa larangan solat yang lain ialah menyilangkan jari kedua-dua tangan, mempermainkan sendi jari tangan atau kaki sehingga mengeluarkan bunyi, menutup wajah dengan kain dan memasukkan kedua-dua tangan di antara kedua-dua paha ketika rukuk.

  • sumber dari harian metro
    .

    Saturday, October 03, 2009

    DOA SERTA AMALAN DI BULAN ZULHIJJAH

    Assalamualaikum...

    1- Dari Ibnu' Abbas r.a telah bersabda Nabi s.a.w:

    --->Zulhijjah hari diampuni Allah akan Adam a.s. Siapa yang berpuasa pada hari itu, Allah mengampuni segala dosanya.

    --->Zulhijjah hari dikabulkan doa Nabi Yunus dan keluar dari perut ikan Nun. Siapa puasa pada hari itu, seolah-olah ia beribadat setahun itu.

    --->Zulhijjah hari dikabulkan Allah doa Nabi Zakaria. Barangsiapa yang puasa pada hari itu, nescaya dikabulkan Allah doanya.

    --->Zulhijjah hari lahirnya Nabi Isa a.s. Siapa yang puasa pada hari itu, nescaya Allah menjauhkan daripadanya segala kesusahan dan kefakirannya.

    --->Zulhijjah hari lahirnya Nabi Musa a.s. Siapa yang puasa pada hari itu, terlepaslah ia dari nifaq dan beroleh keamanan dia dari siksa kubur.

    --->Zulhijjah hari Allah membukakan segala kebajikan bagi Nabi-nabiNya. Siapa yang puasa pada hari itu, nescaya Allah memandang kepadanya dengan kerahmatan.

    --->Zulhijjah hari yang padanya ditutup segala pintu neraka dan tidak dibuka-buka sehingga tanggal 10 Zulhijjah. Siapa berpuasa pada hari itu, nescaya Allah menutup daripadanya 30 pintu dari kesempitan dan dibukakan 30 pintu dari kemudahan.

    --->Zulhijjah ialah hari yang dinamakan hari Tarwiyah. Siapa yang berpuasa nescaya diberi ganjaran barang yang tidak diketahui orang melainkan Allah.

    --->Zulhijjah ialah hari Arafah. Siapa yang berpuasa hari itu, nescaya dosa-dosanya setahun yang akan datang terhapus.

    2- Permulaan 10 Zulhijjah, bacalah 400 kali "Laa ilaaha'illallahu wahdahu laa syariikalah, lahu'lmulku walahu'lhamdu yuhyii wayumiitu wa huwa hayyun laa yamuutu biyadihi'lkhoiru, wahuwa 'alaakulli syai-ink qodiir.."

    3- Mulai sejak terbit matahari 9 Zulhijjah sehingga pagi 10 Zulhijjah perbanyakkanlah takbir.

    4- Pada tiap-tiap hari sesudah selesai solat fardhu 10-13 Zulhijjah, disunatkan bertakbir.
    .

    Monday, September 28, 2009

    SEJARAH AYAT KURSI...


    Assalamualaikum...

    SEJARAH AYAT KURSI...


    Ayat ini diturunkan setelah hijrah. Semasa penurunannya ia telah diiringi oleh beribu-ribu malaikat kerana kehebatan dan kemuliaannya. Syaitan dan iblis juga menjadi gempar kerana adanya satu perintang dalam perjuangan mereka. Rasulallah s. a. w. dengan segera memerintahkan Zaid bin Sabit menulis serta menyebarkannya...


    Sesiapa yang membaca ayat Kursi dengan khusyuk setiap kali selepas sembahyang fardhu, setiap pagi dan petang, setiap kali keluar masuk rumah atau hendak musafir, InsyaAllah akan terpeliharalah dirinya dari godaan syaitan, kejahatan manusia, binatang buas yang akan memudaratkan dirinya bahkan keluarga, anak-anak, harta bendanya juga akan terpelihara dengan izin Allah s. w. t.

    Mengikut keterangan dari kitab 'Asraarul Mufidah', sesiapa mengamalkan membacanya setiap hari sebanyak 18 kali maka akan dibukakan dadanya dengan berbagai hikmah, dimurahkan rezekinya, dinaikkan darjatnya dan diberikannya pengaruh sehingga semua orang akan menghormatinya serta terpelihara ia dari segala bencana dengan izin Allah. 



    Syeikh Abu Abbas ada menerangkan, siapa yang membacanya sebanyak 50 kali lalu ditiupkannya pada air hujan kemudian diminumnya, InsyaAllah Allah akan mencerdaskan akal fikirannya serta Fadhilat Ayat Al-Kursi mengikut Hadis-Hadis Rasullullah s. a. w.. bersabda bermaksud:

    'Sesiapa pulang ke rumahnya serta membaca ayat Kursi, Allah hilangkan segala kefakiran di depan matanya.'

    Sabda baginda lagi;

    'Umatku yang membaca ayat Kursi 12 kali pada pagi Jumaat, kemudian berwuduk dan sembahyang sunat dua rakaat, Allah memeliharanya daripada kejahatan syaitan dan kejahatan pembesar.'

    Orang yang selalu membaca ayat Kursi dicintai dan dipelihara Allah sebagaimana DIA memelihara Nabi Muhammad. Mereka yang beramal dengan bacaan ayat Kursi akan mendapat pertolongan serta perlindungan Allah daripada gangguan serta hasutan syaitan. 



    Pengamal ayat Kursi juga, dengan izin Allah, akan terhindar daripada pencerobohan pencuri. Ayat Kursi menjadi benteng yang kuat menyekat pencuri daripada memasuki rumah. Mengamalkan bacaan ayat Kursi juga akan memberikan keselamatan ketika dalam perjalanannya. 


    Ayat Kursi yang dibaca dengan penuh khusyuk, Insya-Allah, boleh menyebabkan syaitan dan jin terbakar. Jika anda berpindah ke rumah baru maka pada malam pertama anda menduduki rumah itu eloklah anda membaca ayat Kursi 100 kali, insya-Allah mudah-mudahan anda sekeluarga terhindar daripada gangguan lahir dan batin.

    Barang siapa membaca ayat Al-Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, Allah mewakilkan 2 orang Malaikat memeliharanya hingga subuh.

    Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir setiap sembahyang Fardhu, ia akan berada dalam lindungan Allah hingga sembahyang yang lain.

    Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap sembahyang, tidak menegah akan dia daripada masuk syurga kecuali maut, dan barang siapa membacanya ketika hendak tidur, Allah memelihara akan dia ke atas rumahnya, rumah jirannya & ahli rumah2 di sekitarnya.

    Barang siapa membaca ayat Al-Kursi diakhir tiap-tiap sembahyang Fardhu, Allah menganugerahkan dia hati-hati orang yang bersyukur perbuatan2 orang yang benar, pahala nabi2 juga Allah melimpahkan padanya rahmat.

    Barang siapa membaca ayat Al-Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah mengutuskan 70,000 Malaikat kepadanya, mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya.

    Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir sembahyang, Allah azza wajalla akan mengendalikan pengambilan rohnya dan ia adalah seperti orang yang berperang bersama nabi Allah sehingga mati syahid.

    Barang siapa yang membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan, nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya.

    Sunday, September 27, 2009

    KISAH PAKU DAN DINDING...

    Assalamualaikum.......

    Ada seorang pemuda yang sangat pemarah. Dia tidak dapat mengawal kemarahannya walaupun ianya hanya satu masalah kecil sahaja.

    Pada suatu hari, bapanya telah menghadiahkannya dengan seguni paku. "Untuk apakah paku-paku ini ayah?" tanya pemuda tersebut.

    "Setiap kali kamu marah, kamu pakulah tembok batu di hadapan rumah kita ini, bagi melepaskan kemarahan mu"..jawab ayahnya. Pada hari yang pertama sahaja, pemuda itu telah memaku sebanyak 37 batang paku pada tembok batu tersebut.

    Selepas beberapa minggu, setelah dia dapat mengurangkan kemarahannya, jumlah paku yang digunakan juga berkurangan. Dia mendapati, adalah lebih mudah mengawal kemarahannya dari memukul paku menembusi tembok batu tersebut. Akhirnya tibalah pada suatu hari, dimana pemuda tersebut tidak marah, walau sekali pun.

    Dia pun memberitahu ayahnya mengenai perkara tersebut dengan gembira. Bapanya mengucapkan tahniah dan menyuruh dia mencabut kembali paku itu satu persatu, pada setiap hari yang ia lalui tanpa kemarahan.

    Hari berganti hari, dan akhirnya dia berjaya mencabut kesemua paku-paku tersebut. Pemuda tersebut lantas memberitahu perkara tersebut kepada bapanya dengan bangganya.

    Bapanya lantas memimpin tangannya ke tembok tersebut dan berkata, "Kau telah melakukannya dengan baik, anakku. Tetapi lihatlah kesan lubang-lubang di tembok batu tersebut. Tembok itu tidak akan kelihatan sama lagi seperti sebelumnya. Bila kau menyatakan sesuatu atau melakukan sesuatu ketika marah, ianya akan meninggalkan kesan parut dan luka, sama seperti ini. Kau boleh menikam seseorang dengan pisau dan membunuhnya. Tetapi ingatlah, tak kisah berapa kali kau memohon maaf dan menyesal atas perbuatanmu, namun lukanya masih tetap ada. Luka di hati adalah lebih pedih dari luka fizikal.

    Sahabat adalah permata yang sukar dicari. Mereka membuatkan kamu ketawa dan menggalakkan kamu ke arah kejayaan. Sahabat juga adalah seorang pendengar, berkongsi suka dan duka serta sentiasa membuka hatinya kepada kita.

    (Maafkan saya sekiranya saya pernah meninggalkan kesan berlubang di dinding hati anda.)

    Thursday, September 03, 2009

    GANJARAN MENGERJAKAN TARAWIH

    Assalamualaikum...

    Ganjaran Solat Tarawih

    Malam : 1 : Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama sepertimana ia baru dilahirkan, mendapat keampunan dari Allah.

    Malam : 2 : Diampunkan dosa-dosa orang mukmin yang sembahyang terawih serta kedua ibubapanya (sekiranya mereka orang beriman).

    Malam : 3 : Berseru Malaikat di bawah Arasy supaya kami meneruskan sembahyang terawih terus menerus semoga Allah mengampunkan dosa engkau.

    Malam : 4 : Memperolehi pahala ia sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

    Malam : 5 : Allah kurniakan baginya pahala seumpama orang sembahyang di Masjidilharam, Masjid Madinah dan Masjidil Aqsa.

    Malam : 6 : Allah kurniakan pahala kepadanya pahala Malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul Mamur (70 ribu Malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah-tanah mendoakan supaya Allah mengampunkan dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang terawih pada malam ini.

    Malam : 7 : Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa serta menolong Nabi Alaihissalam nenentang musuh ketatnya Firaun dan Hamman.

    Malam : 8 : Allah mengurniakan pahala orang sembahyang terawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Allah Ibrahim Alaihissalam.

    Malam : 9 : Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W.

    Malam : 10 Allah Subhanahuwataala mengurniakan kepadanya kebaikan di dunia dan di akhirat.

    Malam : 11 : Keluar ia daripada dunia (mati) bersih daripada dosa seperti ia baharu dilahirkan.

    Malam : 12 : Datang ia pada hari Qiamat dengan muka yang bercahaya (cahaya ibadatnya).

    Malam : 13 : Datang ia pada hari Qiamat dalam aman sentosa daripada tiap-tiap kejahatan dan keburukan.

    Malam : 14 : Datang Malaikat menyaksikan ia bersembahyang terawih, serta Allah tiada menyesatkannya pada hari Qiamat.

    Malam : 15 : Semua Malaikat yang menanggung Arasy, Kursi, berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.

    Malam : 16 : Allah subhanahuwataala tuliskan baginya terlepas daripada neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga.

    Malam : 17 : Allah kurniakan orang yang berterawih pahalanya pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.

    Malam : 18 : Seru Malaikat : Hai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha kepada engkau dan ibubapa engkau (yang masih hidup atau mati)

    Malam : 19 Allah Subhanahuwataala tinggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.

    Malam : 20 : Allah kurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang solihin.

    Malam : 21 : Allah binakan sebuah istana dalam Syurga daripada nur.

    Malam : 22 Datang ia pada hari Qiamat aman daripada tiap-tiap dukacita dan kerisauan (tidaklah dalam keadaan huru-hara di Padang Masyar).

    Malam : 23 : Allah Subhanahuwataala binakan kepadanya sebuah bandar di dalam Syurga daripada nur.

    Malam : 24 : Allah buka peluang 24 doa yang mustajab bagi orang berterawih malam ini, (elok sekali berdoa ketika dalam sujud)

    Malam : 25 : Allah Taala angkatkan daripada siksa kubur.

    Malam : 26 : Allah kurniakan kepada orang berterawih pahala pada malam ini seumpama 40 tahun ibadat.

    Malam : 27 : Allah kurniakan orang berterawih pada malam ini ketangkasan melintas atas titian Sirotolmustaqim seperti kilat menyambar.

    Malam : 28 : Allah Subhanahuwataala kurniakan kepadanya pahala 1000 darjat di akhirat.

    Malam : 29 : Allah Subhanahuwataala kurniakan kepadanya pahala 1000 kali haji yang mabrur.

    Malam : 30 : Allah Subhanahuwataala beri penghormatan kepada orang berterawih pada malam terakhir ini yang teristimewa sekali, lalu berfirman: “Hai hambaKu : makan!”

    .

    PUASA DI BULAN RAMADHAN..

    Assalamualaikum...

    Pengertian Puasa
    Puasa ertinya menahan diri dari makan dan minum dan dari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai terbit fajar hinggalah terbenam matahari.

    Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud :

    ” Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertaqwa.”


    Manakala Rasulullah SAW telah bersabda :

    “Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan…”


    Syarat Wajib Puasa

    • Berakal
    • Akhir Baligh (Cukup umur)
    • Kuat atau mampu mengerjakan puasa

    Syarat Sah Puasa

    • Islam
    • Mumayyiz (dapat membezakan yang baik dan buruk)
    • Suci daripada haid dan nifas
    • Dalam waktu yang dibolehkan berpuasa.

    Rukun Puasa

    • Berniat – Pada malam selama bulan Ramadhan hendaklah berniat di dalam hati bahawa kita akan mengerjakan puasa pada hari esok.
    • Menahan diri daripada segala yang membatalkan semenjak terbit fajar sampai terbenam matahari.

    Perkara Yang Membatalkan Puasa

    • Makan dan minum dengan sengaja
    • Muntah dengan sengaja
    • Bersetubuh tanpa keluar mani pada siang hari bulan Ramadhan
    • Keluar darah haid atau nifas
    • Gila
    • Keluar mani akibat bersetubuh dengan perempuan. Tetapi keluar mani kerana bermimpi tidak membatalkan puasa.

    Orang Yang Diizinkan Berbuka Atau Tidak Berpuasa

    • Orang yang sakit
    • Orang yang dalam perjalanan jarak jauh melebihi 52 batu atau 80.64 km.
    • Orang tua yang sudah lemah
    • Orang yang hamil dan orang yang menyusukan anak.

    Friday, August 28, 2009

    KEBERKATAN SURAH AL-IKHLAS

    Assalamualaikum...

    بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
    قُلۡ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ (١) ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ (٢) لَمۡ يَلِدۡ وَلَمۡ يُولَدۡ (٣) وَلَمۡ يَكُن لَّهُ ۥ ڪُفُوًا أَحَدٌ (٤)
    Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
    Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. (1) Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. (2) Dia tiada beranak dan Dia pula tidak diperanakkan (3) Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya. (4)

    Ketika memulakan kerja:

    Bacalah ayat ini sebelum anda memulakan apa2 saja kerja kerana dengan bacaan ini akan keluarlah iblis dan syaitan yang berada di dalam tubuh kita dan juga di sekeliling kita. Mereka akan berlari keluar umpama cacing kepanasan.

    Sebelum memasuki rumah:

    Sebelum anda masuk ke dalam rumah, bacalah ayat ini sebanyak 3 kali. Mulakan masuk dengan kaki kanan dan kalimah Bismillah. Berilah salam kepada anggota rumah dan sekiranya tiada orang di dalam, maka malaikat yang akan menyahut salam anda itu.

    Ketika sakit:

    Sabda Rasulallah s.a.w. yang bermaksud: "Barangsiapa yang membaca surah al-Ikhlas sewaktu sakit, sehingga dia meninggal dunia, maka dia tidak akan membusuk di dalam kuburnya, akan selamat dia dari kesempitan kuburnya dan para malaikat akan membawanya dengan sayap mereka melintasi titian siratul mustaqim lalu menuju ke syurga." (Demikian diterangkan dalam Tadzikaratul Qurthuby).
    .

    DOA AGAR SELAMAT DARI AZAB NERAKA

    Assalamualaikum...


    DOA AGAR SELAMAT DARI AZAB NERAKA




    "Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab neraka Jahannam daripada kami. Sesungguhnya azab siksaannya itu adalah mengerikan. Sesungguhnya neraka Jahannam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang amat buruk."

    (al-Furqan: ayat 65-66)

    Amalkanlah doa ini setiap kali selepas solat atau setiap masa...