Tuesday, December 01, 2009

BERSABAR HADAPI SAKIT

Assalamualaikum....

Setiap manusia tidak lari daripada ditimpa sakit dan sebagai umat Islam, sewajarnya kita menguatkan jiwa untuk mengharung segala kesakitan dan penderitaan. Dalam menghadapi penderitaan inilah tersedia ganjaran besar untuk mereka yang terus bersabar dan redha dengan ketentuan Allah S.W.T.

Hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim menyebut: "Sesiapa sahaja di kalangan umat Islam yang ditimpa kesakitan daripada penyakit, maka tidak ada selainnya melainkan Allah akan menggugurkan kejahatannya (dosa kecil) dengan sebabnya seperti mana pokok menggugurkan daunnya."

Dalam hadis ada diceritakan bahawa Rasulullah S.A.W pernah mengemukakan pertanyaan kepada para sahabat: "Siapakah di kalangan kamu yang suka sentiasa sihat tanpa sakit?"

Jawab para sahabat: "Kesemua kami."

Baginda bertanya lagi: "Adakah kamu suka menjadi seperti keldai liar yang mengganas? Tidakkah kamu suka menjadi orang yang ditimpa bala dan orang yang mendapat penghapusan dosa? Demi diriku di bawah kekuasaanNya, sesungguhnya Allah pasti menguji orang mukmin dengan bala dan apa yang diuji itu tidak lain melainkan untuk memuliakannya."

Sabda Rasulullah S.A.W lagi yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang sakit itu mengerangnya adalah tasbih, jeritan dan tidurnya adalah ibadah, nafasnya adalah sedekah dan berbalik-balik ke kiri dan kanan itu adalah memerangi musuh, iaitu sama pada pahalanya."

Dalam Ihya pula ada menyebut sebuah hadis yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah S.W.T mengutuskan kepada seorang yang sakit itu dua malaikat untuk melihat apa yang dikatakannya kepada pengunjungnya. Sekiranya dia mengucapkan tahmid dan pujian kepada Allah, Allah berfirman: "Bagi hambaKu, sekiranya Aku mematikannya nescaya Aku memasukkannya ke dalam syurga. Dan sekiranya Aku menyembuhkan nya nescaya Aku menggantikan daging badannya yang lebih baik daripada sebelum ini, darah yang lebih baik daripada darahnya serta Aku hapuskan kejahatannya. Kelebihan Allah lebih luas daripada semua itu."
.

Tuesday, November 24, 2009

SOAL dan JAWAB

Assalamualaikum...

Soalan:

Apakah hukum menggunakan bekas samada yang diperbuat daripada emas dan perak yang digunakan untuk makan dan minum. Apa pula hukumnya orang lelaki menggunakan sutera, samada untuk dijadikan pakaian, tempat duduk atau bersandar, juga untuk dijadikan tabir.

Jawapan:

Imam Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali berpendapat bahawa menggunakan bekas samada yang diperbuat daripada emas dan perak adalah HARAM.

Junjungan kita Rasullullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud: "Jangan sesekali kamu memakai sutera tulin dan sutera campuran dan jangan minum menggunakan bekas yang diperbuat daripada emas dan perak, juga jangan kamu memakan dalam pinggan-pinggannya kerana ianya adalah untuk mereka (orang-orang kafir di dunia)."

Sebuah hadis lain daripada Ummu Salamah berkata: "Telah bersabda Rasulullah S.A.W: Barangsiapa minum dengan menggunakan bekas daripada emas dan perak, sesungguhnya dia mencampakkan dalam perutnya api Neraka Jahannam."

Mengenai sutera pula, para ulama telah bersependapat mangatakan bahawa HARAM bagi kaum lelaki memakai pakaian yang diperbuat dari sutera. Walaupun demikian, para ulama berselisih pendapat mengenai kain sutera yang digunakan untuk tujuan alas duduk, alas tempat bersandar dan seumpamanya.

Imam Syafie berpendapat bahawa orang lelaki juga HARAM menggunakan kain sutera untuk alas bersandar, sama seperti memakainya. Tegahan menggunakan sutera bagi kaum lelaki seperti yang tersebut jelas dalam hadis di atas, bukan setakat pada memakainya, tetapi termasuk dalam semua penggunaan seperti untuk alas tempat duduk, alas bersandar, cadar tempat tidur dan sebagainya.

Walaupun demikian, Imam Syafie berpendapat adalah HARUS bagi kaum lelaki memakai pakaian sutera ketika berperang. Begitu juga pendapat Imam Maliki, Abu Yusuf dan Muhammad bin al-Hassan.

(Tanya Jawab Agama oleh Dr. Amran Kasimin-UKM).
.

Saturday, November 21, 2009

SEKADAR RENUNGAN (10)

Assalamualaikum....

UMUR LALAT:

Anas bin Malik r.a berkata, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda:

"Umur lalat adalah 40 malam, dan semua bangsa lalat adalah di dalam neraka, kecuali lebah/tawon."

(Riwayat Haisami).

--------------------------------------------------------------------------------------------------

KEMATIAN DISEMBELIH:

Abdullah bin Umar r.a berkata, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda:

"Apabila ahli syurga telah berada di dalam syurga, dan ahli neraka telah tinggal di dalam neraka, maka didatangkan kematian serta diletakkan antara syurga dan neraka, lalu disembelihnya, kemudian malaikat menyeru keras:

Wahai ahli syurga! Tiada kematian lagi bagimu! Wahai ahli neraka! Tiada kematian lagi bagimu! Maka betapa gembira ahli syurga mendengar penuturan itu, dan betapa susahnya ahli neraka saat mendengarnya."

(Riwayat Muslim).
.

Friday, November 20, 2009

GANJARAN UNTUK ISTERI

Assalamualaikum...

Seorang isteri haruslah sentiasa berpakaian cantik, kemas dan menghias dirinya di hadapan suami. Sabda Rasullullah yang bermaksud: "Perempuan-perempuan yang menghias diri kepada yang bukan suami atau muhrimnya adalah seperti lembu yang tidak bercahaya di akhirat kelak."

Isteri yang memberi layanan baik kepada suaminya dari masa ke semasa juga dijanjikan pahala berlipat ganda. Ini diterangkan menerusi huraian hadis Rasullullah. Antaranya ialah:

1) Sekali suami meminum air yang disediakan oleh isterinya, seolah-olah lebih baik daripada isteri itu berpuasa setahun.

2) Makanan yang disediakan oleh isteri kepada suaminya seolah-olah lebih baik daripada isteri itu mengerjakan haji dan umrah.

3) Mandi junub si isteri disebabkan jimak oleh suaminya seolah-olah lebih baik baginya daripada mengorbankan 1000 ekor kambing sebagai sedekah kepada fakir miskin.

4) Apabila isteri hamil, ia dicatat sebagai seorang syahid dan khidmat kepada suami sebagai jihad.

5) Pemeliharaan yang baik terhadap anak-anak adalah menjadi benteng neraka.
.